Resepi Pulut Pagi Kelantan

Resipi pulut pagi Kelantan. Pulut pagi ialah pulut yang dimasak dengan gula Melaka / nise untuk sarapan pagi. Sekali pandang nampak macam wajik, tapi bukan. Rasanya kurang manis dan proses memasaknya lebih mudah berbanding wajik.

Pulut pagi dimakan bersama parutan kelapa muda yang di campur sedikit garam, mewujudkan kombinasi rasa manis, lemak dan masin. Ia merupakan hidangan sarapan pagi atau minum petang yang popular di kalangan masyarakat Kelantan, terutamanya orang-orang lama.

Pulut pagi boleh dimasak secara tanak ataupun kukus. Berikut kami kongsikan resipi pulut pagi versi tanak.


Resipi Pulut Pagi Kelantan

Masa persediaan: 5 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi pulut pagi Kelantan.

  • 2 cawan beras pulut
  • 2 keping nise / gula Melaka (disagat / racik halus) – tambah atau kurangkan mengikut tahap kemanisan yang diingini
  • 2 helai daun pandan
  • ½ cawan kelapa muda parut
  • Garam halus

pulut pagi kelantan

Pulut pagi Kelantan ... lemak manis bila dimakan dengan kelapa parut


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah memasak pulut pagi.

  1. Rendam beras pulut selama sejam, kemudian tuskan.
  2. Masukkan beras pulut ke dalam periuk, bersihkan beras dan kemudian tuskan.
  3. Masukkan air sekadar melepasi paras beras pulut. Bubuh daun pandan yang disiat. Masak seperti menanak nasi biasa.
  4. Setelah pulut hampir masak, perlahankan api. Masukkan nise dan kacau sebati.
  5. Tutup periuk dan biarkan sehingga pulut masak.
  6. Setelah masak, tutup api dan biarkan pulut sejuk.
  7. Kukus kelapa parut sekitar 5 minit supaya ia tahan lama. Kemudian angkat dan gaulkan dengan sedikit garam.
  8. Keluarkan daun pandan dan hidangkan pulut pagi bersama kelapa parut.

Pulut pagi yang bagus berwarna coklat muda, rasanya manis dan lemak masin bila digabungkan dengan kelapa parut. Boleh juga di hidang bersama kacang merah atau kacang mata hitam yang direbus manis. Sangat sesuai dihidang dengan kopi atau teh o untuk minum pagi/petang. Selamat mencuba.