Resepi Cempedak Goreng Rangup

Resepi cempedak goreng rangup. Cempedak goreng (celup tepung) memang sedap dibuat hidangan ringan untuk minum petang bersama teh O atau kopi O. Cempedak goreng yang best memiliki tepung/kerak yang rangup di luar dan isi cempedak yang lembut serta manis di dalam.

Biasanya cempedak yang siap digoreng yang dibeli rangupnya tak tahan lama. Selepas goreng semasa ia masih panas keraknya memang rangup. Tapi bila dah sejuk, rangupnya hilang.

Berikut kami kongsikan cempedak goreng rangup tahan lama. Keraknya cantik, crispy dan kekal rangup walaupun sejuk.


Resipi Cempedak Goreng Rangup

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat cempedak goreng.

  • 1 biji cempedak saiz sederhana
  • 2 cawan tepung beras
  • 1 sudu kecil garam halus
  • Sedikit air kapur makan (½ sudu kecil)
  • 1 biji telur
  • ¼ sudu kecil serbuk kunyit atau sedikit pewarna kuning
  • Air sejuk dari peti ais rahsia tepung rangup tahan lama
  • Minyak secukupnya untuk menggoreng secara (deep fry)

cempedak goreng rangup


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat cempedak goreng.

  1. Kupas cempedak. Buang kulit dan jerami, dapatkan isi dengan bersekali dengan biji.
  2. Masukkan semua bahan (kecuali cempedak dan minyak) ke dalam blender dan kisar sehingga adunan sebati, licin dan tiada ketulan. Adunan janganlah terlalu cair atau pekat. Kalau pekat tambah air, kalau cair tambah beras.
  3. Untuk menggoreng cempedak, panaskan minyak banyak dengan api sederhana sehingga betul-betul panas.
  4. Celupkan cempedak ke dalam adunan, kemudian masukkan ke dalam kuali sebiji-sebiji sehingga cukup untuk sekali goreng. Semasa memasukkan cempedak yang dicelup tepung ke dalam minyak, angkat ia tinggi sedikit di atas kuali supaya adunan yang jatuh ke dalam minyak menjadi serdak yang garing dan rangup.
  5. Goreng cempedak sehingga warna perang keemasan. Balik-balikkan supaya masak sekata. Kemudian angkat dan tuskan di atas bekas berlapikkan paper towel.
  6. Ulangi sehingga habis.
  7. Hidangkan panas-panas.