Resepi Telur Masak Kicap
Resepi telur goreng masak kicap. Telur masak kicap ialah telur goreng mata kerbau (sunny side up) yang dimasak dengan kicap. Ia merupakan masakan paling mudah dan pasti digemari seisi keluarga. Kanak-kanak pasti sukakannya kerana rasanya yang lemak manis dan tidak pedas.
Berikut kami kongsikan resipi telur masak kicap simple untuk anda cuba.
Resipi Telur Goreng Masak Kicap
Bahan-bahan Telur Masak Kicap
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi telur masak kicap. Tambah air jika mahu lebih berkuah.
- 5 biji telur ayam
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar
- 2 cm halia
- 3 sudu besar kicap lemak manis
- 1 sudu besar sos cili
- 1 biji cili merah/ hijau
- ½ cawan air
Persediaan Bahan-bahan
- Mayang bawang putih dan halia. Hiris bulat bawang besar.
- Potong serong cili merah/ hijau.
Cara Memasak Telur Goreng Kicap
Berikut adalah cara memasak telur masak kicap.
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Gunakan kuali jenis wok untuk menghasilkan telur yang bulat sekata.
- Pecahkan sebiji telur ke dalam kuali dan goreng cara mata kerbau. Kemudian angkat dan masukkan ke dalam pinggan hidangan. Ulangi sehingga habis telur.
- Gunakan minyak yang sama untuk menumis bawang putih dan halia hingga naik bau. Kemudian masukkan hirisan bawang besar dan cili hijau/merah.
- Masukkan kicap, sos cili dan air. Lebihkan air kalau nak banyak kuah. Kacau rata dan biarkan mendidih.
- Padamkan api dan tuangkan kuah ke dalam pinggan berisi telur mata tadi.
- Hidangkan panas-panas. Telur masak kicap sedap dimakan sebaik sahaja ia siap dimasak. Jika lambat, telur kuning akan kembang (soggy) kerana menyerap kuah.