Resepi Nasi Goreng Biasa Yang Enak

Resepi nasi goreng biasa simple yang enak. Nasi goreng adalah menu terbaik untuk memanfaatkan nasi sejuk / nasi lebihan semalam.

Dalam banyak-banyak nasi goreng, nasi goreng biasa adalah yang paling mudah dimasak. Ia tidak memerlukan bahan yang spesifik, yang penting ada bahan asas iaitu nasi sejuk, bawang merah, bawang putih dan sedikit cili kisar. Bahan-bahan lain (protin dan sayuran) boleh tambah ikut suka.

Kalau nak yang fancy sikit bolehlah cuba nasi goreng kampung dan nasi goreng udang.

Berikut kami kongsikan cara masak nasi goreng biasa.


Resipi Nasi Goreng Biasa

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 3 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang kami gunakan untuk nasi goreng biasa.

  • 3 mangkuk nasi sejuk
  • 1 genggam ikan bilis
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 2 sudu cili kisar
  • 3 biji cili padi – optional
  • 1 batang sawi
  • 1 potong kobis bulat
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa atau gula – optional
  • 3 sudu besar minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Leraikan nasi supaya tidak berketul.
  • Rendam ikan bilis 10 minit untuk lembutkannya. Kemudian tumbuk bersama bawang merah dan bawang putih.
  • Potong sawi dan kobis bulat ikut suka. Hiris nipis cili padi .

nasi goreng biasa

Nasi goreng bisa ... mudah, cepat dan sedap


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan nasi goreng biasa.

  1. Panaskan kuali dengan api sederhana kecil, kemudian masukkan minyak.
  2. Masukkan bahan tumbuk, tumis sehingga garing.
  3. Kemudian masukkan cili kisar dan potongan cili padi. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan sawi, kobis, sos tiram, garam dan serbuk perasa. Kacau sekejap (dalam 1 minit).
  5. Masukkan nasi dan besarkan api. Kacau goreng selama 4-5 minit sehingga keseluruhan nasi sebati dengan tumisan, mesra rasa dan masak sekata.
  6. Tutup api, angkat dan hidangkan panas-panas.

Hidangkan nasi goreng dengan telur mata, ulam timun dan sambal belacan atau sambal kicap.