Resepi Masak Lemak Pucuk Ubi Kayu
Cara masak lemak cili api pucuk ubi kayu yand sedap. Pucuk ubi adalah sayur yang senang diperolehi kalau di kampung ... kalau di bandar kena beli lah. Daun ubi kayu mentah sebenarnya mengandungi racun sianida (cyanogenic glycosides), tapi sebahagian besarnya akan hilang bila direbus. Cara terbaik menghilangkan sianida dalam pucuk ubi kayu ialah dengan dengan menumbuk, membilas dengan air kemudian merebus.
Apapun jangan risau, pucuk ubi kayu yang direbus memang selamat dimakan. Masakan berasaskan pucuk ubi kayu memang popular terutama di Afrika.
Berikut kami kongsikan resepi masak lemak cili api pucuk ubi kayu.
Resepi Masak Lemak Pucuk Ubi Kayu
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi masak lemak cili api pucuk ubi kayu. Kalau tiada kunyit hidup, boleh diganti dengan serbuk kunyit, tapi rasa kurang best dan tak wangi.
- 1 cekak pucuk ubi kayu
- 1 kotak kecil santan Kara
- 1 ulas bawang putih
- 4 biji bawang merah kecil
- 1 genggam ikan bilis atau udang kering – direndam 10 minit
- 1 batang serai
- 1 inci kunyit hidup
- 4 biji cili padi
- 1 biji cili hijau
- 2 cawan air
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Memasak
Berikut adalah cara memasak sayur lemak pucuk ubi kayu.
- Tumbuk ikan bilis, bawang putih, bawang merah, kunyit dan cili api. Potong serong cili hijau. Ketuk serai.
- Pucuk ubi ambil bahagian lembut dan daun sahaja, buang tangkai, kemudian potong kecil-kecil. Rebus hingga lembut, kemudian bilas dan tuskan. .
- Masukkan bahan tumbuk, serai dan air. Masak sambil mengacau sampai menggelegak.
- Masukkan pucuk ubi dan santan. Masak sambil mengacau.
- Perasakan dengan garam dan gula.
- Bila mendidih, kecilkan api dan masukkan cili hijau. Renehkan seketika supaya pucuk ubi mesra dengan kuah. Sentiasa kacau supaya santan tidak pecah minyak.
- Tutup api, angkat dan hidangkan.
Gulai lemak pucuk ubi kayu sedap di makan dengan nasi panas, ayam atau ikan goreng kunyit dan budu. Selamat mencuba.