Resepi Air Lemon Pudina
Cara membuat air lemon pudina (mint lemonade). Minuman sejuk lemon dengan pudina menghilangkan dahaga, menyegarkan badan terutama ketika cuaca panas atau selepas penat dari aktiviti sukan/riadah.
Berikut kami kongsikan resipi air lemon pudina yang sangat mudah disediakan.
Resepi Air Lemon Pudina Segar Dan Sedap
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat air lemon pudina.
- 4 biji lemon
- 8 helai daun pudina (mint)
- ¾ cawan gula pasir
- 4 cawan air masak
- Ais
Cara Membuat
Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan air lemon pudina.
- Buat sirap / air gula dengan memasak 1 cawan air dengan gula pasir sehingga gula larut sepenuhnya. Angkat dan biarkan sejuk.
- Potong tiga biji lemon, perah dan tapis jusnya masuk ke dalam jag. Baki sebiji lemon lagi dipotong melintang nipis-nipis untuk dijadikan hiasan.
- Ramas daun pudina dan masukkan ke dalam jag. Kemudian masukkan air gula dan air masak.
- Kacau dan biarkan selama 10 minit supaya semua rasa bercampur mesra (infused).
- Bila nak minum, isikan gelas dengan ais, letakkan sepotong hirisan lemon, kemudian tuangkan minuman.
Tip / Petua
- Untuk mendapatkan jus yang lebih banyak bila memerah lemon/limau, caranya mudah sahaja. Rendamkan lemon/limau di dalam air panas selama 10 minit, kemudian gelekkannya di atas kaunter sebelum memotong dan memerah.
- Untuk lagi sedap boleh ditambah sedikit madu (kurangkan gula kalau tambah madu).