Resepi Singgang Daging Kelantan
Resipi singgang daging. Daging singgang merupakan masakan rebus yang popular di Kelantan dan Terengganu terutama di musim hari raya haji/korban.
Masakan ini menyerlahkan rasa manis daging lembu segar. Rasanya ringan dan tidak memuakkan berbanding lauk-lauk lain yang biasa dimasak di hari raya seperti rendang daging, gulai dan kari daging.
Memasak daging singgang amatlah mudah dan ringkas, dan bahan-bahannya sedia di dapati di dapur. Berikut kami kongsikan resipi singgang daging Kelantan.
Resipi Singgang Daging Kelantan
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi singgang daging.
- ½ kg daging lembu segar
- 1 inci lengkuas
- ½ inci halia
- 5 biji bawang merah kecil
- 3 ulas bawang putih
- 2 keping asam gelugor
- 3 biji cili kering
- 1 sudu besar ketumbar
- 1 sudu besar budu - optional
- Garam dan gula secukup rasa
- Air secukupnya
Persediaan Bahan-bahan
- Potong daging nipis-nipis melintang urat supaya cepat empuk.
- Mayang bawang merah dan bawang putih. Potong juliene (seperti batang mancis) lengkuas dan halia. Potong dua cili kering.
- Tumbuk kasar ketumbar.
Cara Memasak
Berikut adalah cara memasak daging singgang ala Kelantan.
- Masukkan semua bahan kecuali garam, gula dan budu ke dalam periuk. Masukkan air.
- Tutup periuk dan rebus dengan api sederhana sehingga daging empuk. Tambah air jika perlu.
- Perasakan dengan garam, gula dan budu. Biarkan seketika, kemudian bolehkan tutup api.
- Angkat dan hidangkan.
Selamat mencuba resepi daging singgang stail Kelantan. Untuk singgang ikan, sila layari Resepi Ikan Singgang Kelantan.