Resepi Kuih Bahulu Sedap

Resepi bahulu sukatan cawan. Kuih bahulu ialah kuih tradisi Melayu yang sangat enak dinikmati pada bila-bila masa, sebagai kudapan ataupun untuk minum petang dengan kopi panas. Kuih bahulu ringan, lembut, gebu, wangi dan kulitnya rangup kalau dinikmati ketika masih suam. Ia datang dalam pelbagai saiz, bentuk dan variasi.

Berikut kami kongsikan resepi bahulu cermai sukatan cawan dengan menggunakan oven.


Resipi Kuih Bahulu

Masa persediaan: 25 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 35 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat baulu.

  • 1 cawan (120g) tepung gandum biasa
  • 1 cawan (120g) gula kastor
  • ½ sudu kecil serbuk penaik (baking powder)
  • 1 sudu kecil tepung beras
  • ¼ sudu kecil garam
  • 4 biji telur
  • ½ sudu kecil esen vanila
  • Minyak masak
  • Acuan bahulu cermai atau belimbing


Persediaan Bahan-bahan

  • Untuk mendapatkan bahulu yang ringan, tepung yang digunakan hendaklah betul-betul kering. Tepung boleh dikeringkan dengan meratakannya di dalam loyang dan memanaskannya di dalam oven selama 2 minit. Kemudian biarkan sejuk.
  • Sediakan bahan-bahan kering. Ayak tepung, garam dan serbuk penaik.

kuih bahulu atau baulu


Cara Membuat Bahulu

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan bahulu.

  1. Panaskan oven kepada suhu 190°C (375°F).
  2. Sediakan adunan bahulu. Pukul telur dengan esen vanila di dalam mangkuk kaca hingga kembang.
  3. Masukkan gula dan terus memukulnya hingga campuran menjadi likat, pucat dan melekit.
  4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit ke dalam campuran telur sambil mengaup balik perlahan-lahan sehingga sebati.
  5. Membakar bahulu. Griskan acuan bahulu dengan minyak masak dan panaskan di dalam oven selama 5 minit.
  6. Sudukan adunan bahulu ke dalam acuan sehingga hampir penuh.
  7. Masukkan ke dalam oven dan bakar selama 10-15 minit atau sehingga bahulu berwarna keemasan.
  8. Setelah masak, angkat bahulu dengan menggunakan pencucuk sate atau pencungkil gigi.
  9. Ulangi proses membakar sehingga semua adunan habis.
  10. Biarkan bahulu sejuk sebelum menyimpannya dalam bekas yang kedap udara.


Tip

  • Jika anda mahukan bahulu yang sedikit rapuh (crispy). Setelah diangkat, balikkan bahulu, kemudian masukkan semula ke dalam oven dan bakar selama 3-4 minit (atau sehingga dapat tekstur yang anda inginkan).