Resepi Ikan Patin Masak Tempoyak
Ikan patin masak tempoyak. Gulai tempoyak ikan patin memang sedap lebih-lebih lagi yang asli dari Temerloh. Rasanya yang umami dan masam manis cukup menyelerakan.
Resipi ikan patin masak tempoyak ni simple sebenarnya, boleh masak sendiri di rumah. Ia menggunakan bahan-bahan asas sahaja, tak perlu menumis dan tidak menggunakan bawang.
Berikut kami kongsikan cara memasak ikan patin tempoyak.
Resipi Ikan Patin Tempoyak
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi masak tempoyak ikan patin.
- 1 ekor ikan patin sederhana besar
- 5 sudu besar tempoyak
- 1 inci kunyit hidup
- 10 biji cili padi
- Secekak daun kesum
- 1 keping asam gelugor
- 5 biji kacang bendi - opsyenal
- 4 cawan air - bergantung kepada kepekatan kuah yang diingini
- Garam dan gula secukup rasa
Persediaan Bahan-bahan
- Potong ikan patin ikut saiz yang diingini. Basuh dengan tepung gandum untuk hilangkan lendir dan hanyir ikan. Bilas dan tuskan.
- Kisar kunyit, cili padi dan tempoyak bersama sedikit air.
Cara Memasak
Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak gulai tempoyak ikan patin.
- Masukkan kunyit, cili padi dan tempoyak yang sudah dikisar, air dan asam keping ke dalam periuk.
- Rebus sehingga kuah mendidih dan mencapai kepekatan yang diingini.
- Masukkan ikan patin, daun kesum dan bendi. Didihkan dan biarkan ia mereneh seketika sehingga ikan empuk (kira-kira 3 minit). Jangan lama sangat sebab ikan patin lembut dan mudah hancur.
- Perasakan dengan garam. Keluarkan asam keping jika dah cukup rasa masam. Masukkan sedikit gula jika terlalu pedas.
- Matikan api, angkat dan hidangkan.