Resepi Apam Beras Gebu Merekah
Resipi apam beras gebu sukatan cawan. Kuih apam beras atau apam nasi merupakan kuih kukus simple yang mudah dibuat. Teksturnya lembut, gebu dan rasanya manis. Apam beras enak dimakan bersama kelapa muda yang di parut yang lemak dan sedikit masin.
Berikut kami kongsikan resipi apam beras lembut dan gebu sukatan cawan. Kalau tiada tepung beras, boleh cuba Apam Puteri Ayu yang menggunakan tepung gandum sepenuhnya.
Resipi Apam Beras
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi apam beras.
- 1 cawan tepung beras
- 1 cawan nasi putih sejuk
- 1 cawan tepung gandum
- 1 cawan gula pasir
- 1 sudu teh yis segera Mauripan
- 1½ cawan air
- Sedikit pewarna
- 1 cawan kelapa muda parut
- Minyak masak untuk sapuan
Persediaan Bahan-bahan
- Kisar nasi sejuk dan air sehingga halus. Kemudian masukkan tepung beras, tepung gandum, yis, gula pasir dan pewarna. Kisar lagi hingga sebati. Akhir sekali masukkan adunan ke dalam mangkuk besar dan perap selama 3 jam sehingga ia naik dan gebu.
- Gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam.
Cara Memasak
Berikut adalah langkah-langkah mengukus apam beras lembut gebu.
- Panaskan pengukus sehingga air mendidih.
- Sapukan setiap acuan dengan minyak supaya apam senang dikeluarkan bila masak nanti.
- Tuangkan adunan ke dalam acuan sehingga penuh.
- Aturkan acuan yang sudah diisi di dalam pengukus dan kukus selama 15 - 20 minit.
- Bila kuih apam masak dan merekah, angkat dan keluarkan dari acuan .
- Hidangkan bersama kelapa parut.