Resepi Kari Daging Sedap

Resepi kari daging / daging masak kari. Daging masak kari adalah menu lauk berkuah yang versatile kerana ia sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis nasi dan juga roti. Kari daging senang dimasak dan bahan-bahannya mudah didapati di dapur.

Berikut kami kongsikan resipi ringkas daging masak kari yang sedap.


Resipi Daging Masak Kari

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 40 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak kari daging.

  • ½ kg daging lembu
  • 2 sudu besar atau 1 paket kecil rempah kari daging / ayam
  • 1 cawan santan pekat
  • 5 cawan air (tambah atau kurangkan ikut suka)
  • 2 biji ubi kentang - opsyenal
  • 5 biji cili kering
  • Gula pasir / gula melaka dan garam secukup rasa
  • Air asam jawa

Bahan Tumis
  • 1 tangkai daun kari - dilurut
  • 5 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 sudu besar minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong daging sederhana kecil, nipis-nipis dan melintang urat supaya mudah empuk. Bersihkan, kemudian tuskan.
  • Kupas dan potong dadu ubi kentang.
  • Potong cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas sehingga kembang, kemudian kisar.
  • Bancuh serbuk rempah kari dengan sedikit air supaya menjadi pes.
  • Hiris bawang merah dan bawang putih.

gulai kari daging kelantan sedap

Daging masak kari sedap dinikmati dengan apa saja.


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak kari daging lembu.

  1. Panaskan minyak masak di dalam periuk dengan api sederhana. Tumis bahan tumis sehingga garing dan naik bau.
  2. Masukkan cili kisar dan pes rempah kari daging/ayam, gaul sebati dan masak hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging dan kacau sehingga daging kecut dan mesra dengan rempah.
  4. Tambah air, kuatkan api dan masak sehingga daging empuk. Bila daging hampir empuk, masukkan kentang.
  5. Kecilkan api, kemudian masukkan santan, air asam jawa, gula dan garam secukup rasa.
  6. Kacau rata dan renehkan selama 5 - 10 minit.
  7. Padamkan api dan sedia untuk dihidang.


Cadangan Hidangan

Kari daging enak dimakan bersama nasi atau dicicah roti atau lempeng.