Cara Merebus Pasta Dengan Betul

Cara betul merebus pasta. Pasta merupakan makanan yang diperbuat dari tepung semolina gandum durum. Pasta yang diimport masuk ke Malaysia adalah pasta kering. Ia datang dalam berbagai bentuk dan setiap bentuk ada namanya sendiri.

Di antara pasta yang popular ialah spaghetti dan vermicelli (berbentuk silinder seperti mee); macaroni dan elbow (tiub bengkok); lasagna (kepingan nipis empat segi); penne (serupa straw yang dipotong serong); fettuccini (serupa kuey teow); fusilli (berpintal) dan bermacam-macam lagi.

Memasak/merebus pasta tak susah, tapi kalau tidak kena caranya pasta akan melekat, terlalu lembik atau masih keras. Berikut kami kongsikan cara betul memasak pasta kering.


Teknik / Cara Merebus Pasta

Masa persediaan: 0 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi merebus pasta. Bahagi atau gandakan jumlah bahan-bahan lain berdasarkan jumlah pasta yang ingin dimasak.

  • 1 paket 500gm pasta
  • 2 sudu besar garam
  • 5 liter air

cara masak pasta spaghetti makaroni


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk merebus pasta dengan betul.

  1. Masak air sehingga menggelegak. Gunakan periuk yang dalam dan besar supaya dapat memberi ruang kepada pasta semasa merebus.
  2. Bila air menggelegak, masukkan garam dan bila garam larut, masukkan spaghetti. Kacau spaghetti tiga atau empat kali semasa tempoh memasak supaya pasta tidak melekat dan masak sekata.
  3. Sekiranya resipi memerlukan anda menyambung masak di dalam sos, pasta hendaklah dimasak sehingga al dente. Al dente ialah keadaan di mana pasta sudah masak sepenuhnya tetapi bahagian dalamnya masih sedikit keras. Ini kebiasaannya dicapai dengan memasak kurang 2 minit dari tempoh memasak yang dinyatakan pada bungkusan pasta.
  4. Sekiranya anda ingin hidang terus (dengan sos dituang di atas pasta), pasta hendaklah dimasak mengikut tempoh masa yang dinyatakan pada bungkusan.
  5. Setelah masak, simpan sedikit air rebusan untuk dimasukkan ke dalam sos, kemudian tuskan.


Tip

  • Jangan masukkan minyak bila merebus pasta. Ia akan menyebabkan sos susah melekat pada pasta.
  • Jangan bilas pasta selepas merebus. Ia akan menanggalkan kanji dari pasta. Kanji sebenarnya bertindak semacam gam yang membantu sos melekat pada pasta.
  • Masukkan sedikit air rebusan pasta ke dalam sos/kuah. Kanji dalam air rebusan membantu memekatkan dan memantapkan sos/kuah pasta. (Biasanya garam tak perlu dimasukkan ke dalam sos. Memadai dengan masin air rebusan).

Semoga petua merebus pasta ini membantu pembaca memasak pasta dengan sempurna.