Resepi Ayam Percik Terengganu Special

Resepi ayam percik Terengganu. Ayam percik amat popular di negeri Kelantan dan Terengganu terutama sekali bulan puasa dan biasanya banyak dijual di bazar Ramadhan.

Terdapat dua versi ayam percik - yang berkuah putih (Kelantan) dan berkuah merah (Terengganu). Ayam percik putih (Kelantan) susah dijumpai di luar Kelantan. Ayam percik merah atau dikenali juga dengan nama ayam golek di Terengganu, lebih popular dan biasanya ada dijual di pasar-pasar malam.

Berikut kami kongsikan ayam percik merah / ayam golek Terengganu / ayam percik pasar malam yang dipermudahkan.


Resipi Ayam Percik Terengganu

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 35 minit ♦ Hidangan: 8 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ayam masak percik.

  • 1 ekor ayam
  • 2 cawan santan pekat
  • 10 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 cm kunyit
  • 1 batang serai
  • 3 sudu besar cili kisar / cili boh
  • 1 sudu besar tepung beras/jagung (untuk memekatkan kuah)
  • 1 keping asam gelugor
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu besar gula


Persediaan Bahan-bahan

  • Kisar bawang merah, bawang putih, kunyit, halia, serai, cili kering, garam dan gula dengan sedikit air.
  • Potong ayam kepada empat bahagian atau lebih kecil. Bersihkan, kelar dan tuskan.
  • Gaulkan ayam dengan bahan kisar dan perapkan selama sekurang-kurangnya setengah jam.

ayam percik Kelantan Terengganu asli sedap

Ayam percik / ayam golek asli Terengganu dengan sos berwarna oren kemerahan ... memang best


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak ayam percik.

  1. Masukkan ayam bersama perapan ke dalam periuk. Tambah secawan air, kacau, tutup periuk dan rebus dengan api sederhana.
  2. Bila ayam masak, keluarkan ayam dari periuk untuk dipanggang.
  3. Masukkan santan, cili kisar, asam keping dan tepung beras ke dalam periuk berisi perapan tadi dan masak sehingga kuah pekat. Sentiasa kacau semasa kuah percik dimasak untuk mengelakkan santan berketul. Perasakan dengan garam dan gula sebelum diangkat. Keluarkan asam keping kalau dah cukup rasa masam.
  4. Panggang ayam di atas bara api, dalam oven atau menggunakan pemanggang ajaib. Bila ayam dah keperangan, lumurkan kuah percik pada ayam dan teruskan memanggang hingga garing. Terbalikkan ayam dan ulangi proses melumur kuah dan memanggang beberapa kali sehingga kuah melekat pada ayam dan ia masak sekata.
  5. Angkat dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Curahkan kuah ke atas ayam percik dengan bila menghidang. Sesuai dimakan bersama nasi putih, nasi kerabu atau pulut kuning.