Ayam Masak Kicap Berkuah
Resipi ayam masak kicap. Ayam masak kicap merupakan masakan ayam simple dan sedap yang digemari seisi keluarga, orang dewasa dan juga kanak-kanak. Anak-anak pasti sukakannya kerana rasanya yang lemak manis dan tidak pedas.
Berikut kami kongsikan resipi ayam masak kicap enak untuk anda cuba.
Resipi Ayam Masak Kicap
Bahan-bahan Ayam Masak Kicap
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ayam masak kicap. Kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga tidak perlu dimasukkan jika tak suka rempah.
- ½ ekor ayam
- 3 ulas bawang putih
- 4 biji bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 2 cm halia
- 1 sudu teh serbuk kunyit
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
- 2 biji buah pelaga
- 1 tangkai daun kari
- 2 sudu besar cili kisar
- 3 sudu besar kicap lemak manis
- 10 biji cili padi
- 1 cawan air
- Garam dan gula
Persediaan Bahan-bahan
- Potong kecil dan bersihkan ayam. Gaulkan dengan garam kunyit.
- Mayang bawang putih, bawang merah dan halia.
- Hiris bulat bawang besar.
Cara Memasak Ayam Masak Kicap
Berikut adalah cara memasak ayam masak kicap.
- Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ayam hingga warna kekuningan (goreng tiga suku masak). Kemudian angkat dan ketepikan.
- Gunakan sebahagian dari minyak yang sama untuk menumis bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan daun kari hingga naik bau.
- Masukkan cili kisar dan tumis menggunakan api perlahan sehingga cili betul-betul garing dan pecah minyak.
- Masukkan ayam yang telah digoreng, kicap, air dan hirisan bawang besar. Lebihkan air kalau nak kuah banyak. Gaulkan rata.
- Masukkan cili padi, garam dan gula secukup rasa. Jika tak suka kuah, masak sehingga kuah pekat.
- Padamkan api dan hidangkan.