Resepi Salad Kentang Dengan Telur (cara Jepun)
Salad kentang Jepun (Japanese potato salad) dengan telur, carrot dan timun. Salad kentang boleh dibuat sekaligus dengan kuantiti besar, lepas tu simpan dalam peti sejuk. Ambil sikit-sikit bila nak makan. Boleh di makan begitu sahaja atau jadikan inti sandwich. Ia boleh bertahan 2-3 hari dalam peti sejuk.
Salad kentang Jepun sedikit berbeza dari salad kentang biasa: ia tidak menggunakan cuka; ia lebih colorful kerana ditambah lobak merah, timun atau sayuran lain dan ia menggunakan mayonis Jepun yang mempunyai rasa yang lebih tajam.
Resipi Salad Kentang Jepun
Bahan-bahan
Bahan-bahan yang diperlukan untuk salad kentang Jepun dengan telur adalah:
- 1/2 kg ubi kentang
- 2 biji telur ayam
- 1/2 batang timun Jepun
- 1/2 batang lobak merah / carrot
- 5 sudu besar mayonis Jepun jenama Kewpie (mayonis biasa pun boleh)
- 2 sudu kecil gula pasir (tak perlu kalau guna mayonis Jepun)
- 1/2 biji bawang merah besar
- 1/4 sudu kecil serbuk lada hitam
- 1 sudu kecil garam
Boleh juga tambah hirisan sosej, jagung atau kacang pea.
Persediaan Bahan-bahan
- Kupas ubi kentang, kemudian potong dua. Kupas carrot.
- Petua supaya timun rangup: Potong nipis timun Jepun dan bawang merah besar. Letak di dalam pinggan dan taburkan dengan sedikit garam halus. Biarkan selama 10-15 minit supaya air diserap keluar dari timun dan bawang. Kemudian bilas dengan air dan perah untuk keluarkan lebihan air.
Cara Membuat
Berikut adalah langkah-langkah menyediakan salad kentang Jepun.
- Masukkan ubi kentang dan carrot ke dalam periuk bersama satu sudu kecil garam dan rebus sehingga empuk, dalam lebihkurang 10 minit untuk carrot dan 15 minit untuk kentang. Angkat dan tuskan. Kemudian pecah-pecahkan kentang dengan garpu. Belah dua dan hiris nipis carrot. Masukkan ke dalam mangkuk besar dan biarkan sejuk.
- Letakkan telur ke dalam periuk dan masukkan air sekadar menutup telur. Masak sehingga mendidih, kemudian matikan api dan tutup periuk. Biarkan selama 15 minit. Kemudian angkat, kupas dan cencang kasar.
- Masukkan carrot, timun, bawang, mayonis, gula dan lada hitam ke dalam mangkuk ubi kentang. Gaul.
- Akhir sekali masukkan telur rebus dan gaul perlahan.
- Hidangkan terus atau simpan dulu dalam peti sejuk selama 2-3 jam untuk menyatukan semua rasa sebelum dinikmati sejuk-sejuk.