Resepi Kerutuk Daging

Resepi kerutuk daging / daging masak kerutuk. Kerutuk daging adalah menu lauk yang popular pantai timur. Di Kelantan, kerutuk daging versi "gulai buku besar" sering menjadi juadah pilihan untuk kenduri kahwin, sekiranya makan secara hidang.

Berikut kami kongsikan resipi kerutuk daging buat para pembaca.


Resipi Daging Kerutuk

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 50 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan Kerutuk Daging

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi daging masak kerutuk.

  • 500 gm daging lembu
  • 1 paket kecil (25 gm) rempah kerutuk daging / ayam
  • 2 cawan santan kelapa
  • 2 sudu besar kerisik
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 2 biji ubi kentang
  • 3 sudu besar minyak masak untuk menumis
  • 5 biji cili kering
  • 1 inci lengkuas - diketuk
  • Gula melaka dan garam secukup rasa

Bahan Tumis (A)
  • 6 biji bawang merah
  • 1 batang serai - dititik


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong dadu daging lembu. Untuk kerutuk buku besar, potong kepada ketulan-ketulan besar (lebihkurang 2x2x1 inci). Bersihkan, kemudian tuskan.
  • Kupas dan belah dua ubi kentang.
  • Potong cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas sehingga kembang, kemudian kisar.
  • Bancuh serbuk rempah kerutuk dengan sedikit air supaya menjadi pes.
  • Hiris bawang merah dan bawang putih.

resipi kerutuk daging buku besar Kelantan yang sedap


Cara Memasak

Berikut adalah cara memasak daging kerutuk.

  1. Masukkan minyak masak ke dalam periuk dan panaskan dengan api yang sederhana. Tumis bahan-bahan A (bawang merah dan serai) sehingga garing dan naik bau.
  2. Kemudian masukkan lada kering yang dikisar dan pes rempah kerutuk daging/ayam, gaul sebati dan masak hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging dan gaul sebati. Kacau seketika sehingga daging kecut dan mesra dengan rempah.
  4. Tambah air, masukkan lengkuas, kuatkan api, kacau dan tudung periuk. Masak sehingga daging empuk.
  5. Kemudian perlahankan api dan masukkan santan dan ubi kentang.
  6. Bila mendidih, masukkan kicap pekat, kerisik, garam dan gula melaka. Masak sehingga kuah pekat dan pecah minyak.
  7. Akhir sekali, padamkan api dan angkat.

Kerutuk kuahnya pekat, pecah minyak dan warnamya gelap. Rasanya sedikit manis.


Cadangan Hidangan

Kerutuk daging sedap dinikmati bersama nasi putih atau nasi minyak dan acar mentah. Sedap juga dimakan dengan pulut kuning.