Resepi Sambal Tumis Ikan Bilis Sedap

Sambal ikan bilis sinonim dengan masyarat Melayu dan nasi lemak. Sebenarnya terdapat banyak versi dan teknik memasak sambal tumis ikan bilis. Yang penting sambal ikan bilis hendaklah pekat, berwarna merah gelap dan seimbang rasa pedas, lemak, masin dan manisnya. Apapun, yang penting ianya sedap bagi orang yang memakannya.

Berikut kami kongsikan resipi sambal tumis ikan bilis yang sedap, cantik dan tahan lama.


Resepi Sambal Ikan Bilis

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 45 minit ♦ Hidangan: 6 orang


Bahan-bahan

Senarai bahan-bahan untuk membuat sambal tumis ikan bilis:

  • 1 cawan ikan bilis (60gm)
  • 20 biji cili kering (100gm)
  • ½ cawan minyak masak
  • 5 biji bawang merah kecil
  • 3 biji bawang besar Bombay
  • 1 cm halia
  • 1 biji buah keras
  • Sedikit belacan
  • 1 kiub ikan bilis
  • Air asam jawa atau asam gelugor
  • 2 sudu besar gula
  • Garam secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  1. Basuh ikan bilis dan tuskan.
  2. Potong cili kering, buang biji dan rebus atau rendamkan dalam air panas hingga kembang. Kemudian kisar bersama halia, buah keras dan sedikit air.
  3. Kisar bawang merah dan bawang besar dengan sedikit air.

sambal ikan bilis pedas manis


Cara Membuat Sambal Ikan Bilis

  1. Panaskan minyak dalam kuali atau periuk berpenutup.
  2. Tumiskan bawang kisar sehingga air kering sepenuhnya dan naik bau.
  3. Masukkan cili kisar, belacan, kiub ikan bilis dan tumis menggunakan api kecil. Semasa menumis pastikan kuali sentiasa tertutup (biar terbuka sedikit untuk lepaskan stim) supaya sambal tidak terpercik keluar. Bila ingin mengacau, buka tudung lepas tu tutup balik.
  4. Bila cili betul-betul garing dan pecah minyak, masukkan gula dan teruskan menumis sehingga sambal berwarna merah gelap dan berkilat.
  5. Kemudian masukkan ikan bilis, air, air asam jawa dan garam. Kacau rata-rata. Biarkan mereneh selama 10 minit atau sehingga sambal pekat.
  6. Padamkan api dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Sambal tumis ikan bilis sedap dinikmati dengan nasi lemak, bersama ikan bilis goreng rangup. Sambal ikan bilis juga enak dimakan bersama roti canai, lontong, lempeng atau sebagai lauk untuk nasi putih.