Resepi Laksam Kelantan Lembut Dan Sedap

Laksam ialah makanan unik dari Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu). Ia dibuat dari bancuhan tepung beras yang dikukus membentuk dadar, kemudian digulung setelah masak. Laksam dipotong bulat-bulat sebelum dihidangkan dengan kuah lemak putih, iaitu kuah yang sama dengan laksa Kelantan.

Di negeri Kelantan, laksam yang siap dibungkus ada dijual di gerai-gerai sarapan pagi. Laksam juga disediakan di majlis jamuan laksa, yang biasanya menyediakan tiga jenis laksa, iaitu laksa Kelantan, laksa Penang dan laksam.

Berikut kami kongsikan cara buat laksam sukatan cawan, langkah demi langkah.


Resepi Laksam Kelantan

Masa persediaan: 30 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Jumlah hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat laksam.


⦿ Bahan-bahan Laksam

Bahan untuk 8 keping laksam yang lembut dan cantik:

  • 2 cawan tepung beras
  • ⅓ cawan tepung gandum
  • ¼ sudu kecil garam
  • 3 cawan air suam
  • Minyak masak untuk sapuan

⦿ Bahan-bahan Kuah
  • ½ kg ikan selayang/sardin
  • ½ kg santan pekat
  • 8 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ cm halia
  • 1 sudu kecil lada hitam (ditumbuk)
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa

⦿ Bahan-bahan Kerabu (ulaman)
  • 1 biji timun  batang
  • 4 batang kacang panjang
  • Secekak pucuk serai kayu / salam / samak
  • Secekak taugeh
  • Secekak daun kesum
  • 1 kuntum bunga kantan

⦿ Bahan-bahan Sambal
  • 5 biji cili merah
  • 5 biji cili padi
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 biji limau nipis

⦿ Bahan-bahan lain
  • 3 cm belacan (dibakar dan dipotong kiub) – optional

laksam kelantan lembut sedap

Laksam ori lembut dengan kuah lemak ... yummy


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat laksam.


⦿ Cara Memasak Laksam
  1. Panaskan pengukus bersama loyang bulat atau tuduk periuk yang telah disapu minyak.
  2. Bancuh tepung beras, tepung gandum dengan air suam dan gaul hingga sebati. Hasilkan adunan seperti kuih dadar, dan pastikan tiada ketulan.
  3. Buka pengukus, tuangkan 3 senduk adunan ke dalam loyang.
  4. Tutup semula pengukus. Kukus sehingga adunan tepung menggelembung, kemudian angkat (5 minit).
  5. Sejukkan sekejap dengan merendam loyang di dalam air sejuk, kemudian cungkil hujung laksam dan gulung kemas.
  6. Keluarkan gulungan laksam dari loyang dan letak atas pinggan.
  7. Lap bersih loyang, sapu minyak dan ulangi proses mengukus sehingga habis adunan.

⦿ Cara Memasak Kuah Laksam
  1. Rebus ikan sehingga masak (sekitar 5 minit). Buang tulang, tapi simpan air rebusan.
  2. Blend isi ikan dan air rebusan bersama bawang merah, bawang putih dan halia sehingga lumat.
  3. Masukkan ikan yang telah dikisar, lada hitam yang ditumbuk, santan dan asam gelugor ke dalam periuk.
  4. Masak dengan api sederhana sambil mengacau supaya kuah tidak pecah minyak.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Biarkan mendidih sekejap, kemudian tutup api dan angkat.
  7. Kuah sedia untuk dihidangkan bersama laksam.

⦿ Cara Menyediakan Sambal

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat sambal.

  1. Tumbuk atau kisar cili bersama garam dan gula.
  2. Perah jus limau nipis dan kacau sebati.

⦿ Cara Menyediakan Kerabu Ulam

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan kerabu.

  1. Bersihkan semua sayuran/herba, kemudian tuskan.
  2. Belah timun batang, buang biji, kemudian sagat.
  3. Mayang pucuk serai kayu, daun kesum, kacang panjang dan bunga kantan.
  4. Letak semuanya dalam satu bekas, tetapi asingkan.


Cara Hidangan

Potong gulungan Iaksam bulat-bulat setebal 1 cm setiap satu menggunakan gunting. Masukkan potongan laksam ke dalam pinggan dan tuangkan kuah laksam ke atasnya. Tabur kerabu ulam-ulaman, letak sambal dan hirisan belacan. Sedia untuk dinikmati.

Kalau nak lagi sedap boleh tambah serunding dan/atau telur puyuh untuk jadikannya laksam special.