Resepi Singgang Daging Kelantan

Resipi singgang daging. Daging singgang merupakan masakan rebus yang popular di Kelantan dan Terengganu terutama di musim hari raya haji/korban.

Masakan ini menyerlahkan rasa manis daging lembu segar. Rasanya ringan dan tidak memuakkan berbanding lauk-lauk lain yang biasa dimasak di hari raya seperti rendang daging, gulai dan kari daging.

Memasak daging singgang amatlah mudah dan ringkas, dan bahan-bahannya sedia di dapati di dapur. Berikut kami kongsikan resipi singgang daging Kelantan.


Resipi Singgang Daging Kelantan

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi singgang daging.

  • ½ kg daging lembu segar
  • 1 inci lengkuas
  • ½ inci halia
  • 5 biji bawang merah kecil
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 keping asam gelugor
  • 3 biji cili kering
  • 1 sudu besar ketumbar
  • 1 sudu besar budu - optional
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong daging nipis-nipis melintang urat supaya cepat empuk.
  • Mayang bawang merah dan bawang putih. Potong juliene (seperti batang mancis) lengkuas dan halia. Potong dua cili kering.
  • Tumbuk kasar ketumbar.

daging singgang

Singgang daging cukup membuka selera


Cara Memasak

Berikut adalah cara memasak daging singgang ala Kelantan.

  1. Masukkan semua bahan kecuali garam, gula dan budu ke dalam periuk. Masukkan air.
  2. Tutup periuk dan rebus dengan api sederhana sehingga daging empuk. Tambah air jika perlu.
  3. Perasakan dengan garam, gula dan budu. Biarkan seketika, kemudian bolehkan tutup api.
  4. Angkat dan hidangkan.

Selamat mencuba resepi daging singgang  stail Kelantan. Untuk singgang ikan, sila layari Resepi Ikan Singgang Kelantan.