Resepi Laksa Penang Sedap
Laksa penang ialah laksa dengan kuah masam-pedas berasaskan ikan yang berasal dari negeri Pulau Pinang. Boleh dikatakan bahawa laksa penang merupakan menu laksa yang paling popular di Malaysia. Kalau di Kelantan sekalipun, jamuan laksa biasanya menghidangkan kedua-dua jenis kuah - laksa Kelantan dan laksa Penang.
Berikut kami kongsikan resipi cara buat laksa penang asli.
Resepi Laksa Penang
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat laksa penang.
- 1 kg laksa basah atau 1 paket laksa kering
- 1 kg ikan kembung/selayang/sardin
- 2 kuntum bunga kantan
- 5 keping asam gelugur
- 1 cekak daun kesum
- 2 1/2 liter air
- 1 sudu besar garam
- 1 sudu besar gula
Bahan-bahan kisar
- 7 biji cili kering
- 2 ulas bawang putih
- 10 biji bawang merah
- 1 cm lengkuas
- 1 inci belacan
- 3 batang serai
Bahan-bahan hiasan
- 5 biji telur rebus
- 200 gm daun salad
- 2 biji bawang merah besar
- 1 batang timun
- 3 biji cili merah
- 1/2 biji nenas
- 6 biji cili padi
- 3 biji buah limau nipis
Persediaan Bahan-bahan
- Jika guna laksa kering, rendam dahulu laksa selama 2-3 jam. Lepas tu rebus laksa hingga lembut. Kemudian angkat, siram dengan air sejuk dan tuskan.
- Rebus telur, tuskan dan biarkan sejuk. Kupas, kemudian belah dua.
- Potong cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas sehingga kembang.
- Rebus ikan kembung hingga lembut. Ambil isi, buang tulang tapi simpan air rebusannya. Tumbuk/ramas kasar separuh isi ikan, separuh lagi untuk dikisar.
- Kisar cili yang telah direndam, separuh isi ikan, bawang putih, bawang merah, lengkuas, serai dan belacan bersama air rebusan hingga halus.
- Hiris daun salad, cili merah, timun, bawang besar,cili api dan nenas. Belah dua bunga kantan, belah empat buah limau nipis.
Cara Memasak
Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat kuah laksa penang.
- Masukkan air, bahan kisar, bunga kantan, daun kesum dan asam gelugor ke dalam periuk.
- Masak kuah sehingga mendidih, kemudian masukkan isi ikan yang ditumbuk.
- Bila mendidih sekali lagi, kecilkan api dan renehkan selama 20-30 minit sehingga kuah menjadi sedikit pekat. Perasakan dengan garam dan gula. Teruskan mereneh kalau nak kuah lagi pekat.
- Matikan api dan kuah sedia untuk dihidangkan dengan laksa.
Cadangan Hidangan
Masukkan laksa ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah laksa panas hingga penuh. Bubuh hirisan daun salad, timun, nanas, cili merah, cili padi, limau nipis dan telur rebus.