Resepi Belebat Ubi Keledek
Belebat ubi keledek atau dikenali dengan nama belebat ubi stelo di Kelantan adalah kuih kukus manis tradisional berasaskan tepung beras. Rasanya lemak manis, sesuai dihidang dengan kopi o / teh o untuk sarapan pagi atau minum petang.
Berikut kami kongsikan resipi belebat ubi keledek sukatan cawan
Resipi Belebat Ubi Keledek
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat belebat ubi keledek.
- 1 cawan tepung beras
- ½ cawan gula
- 240gm ubi keledek oren atau ungu
- 1 kotak 200ml santan
- 2 cawan air
- ½ sudu kecil garam
- Daun pisang secukupnya
Persediaan Bahan-bahan
- Kupas ubi keledek, bersihkan kemudian potong keci-kecil empat segi memanjang (3cm x ½cm x ½cm).
- Layur daun pisang atas api dapur (supaya daun pisang tidak pecah semasa membungkus), lap bersih, kemudian potong mengikut urat kepada saiz sebesar tapak tangan.
Cara Memasak
Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat kuih belebat ubi keledek.
- Rebus ubi keledek sehingga empuk. Angkat dan tuskan airnya. Ketepikan.
- Campurkan santan, tepung beras, garam dan gula. Kemudian masak sambil mengacau sehingga adunan menjadi pekat.
- Kemudian masukkan ubi keledek. Kacau rata.
- Ambil satu potong daun pisang, letak anggaran 2 sudu besar adunan kuih, kemudian bungkus dengan bahagian atasnya sedikit terbuka, seperti dalam gambar. Ulangi sehingga habis adunan.
- Seterusnya kukus kuih selama 10-15 minit sehingga masak. Untuk kepastian,cucuk kuih dengan garpu, kuih yang telah masak tidak akan melekat pada garpu.
- Bila dah masak, keluarkan dari pengukus biarkan sejuk.
- Sedia untuk dihidang.