Resepi Ikan Siakap Tiga Rasa Sedap

Ikan siakap tiga rasa merupakan menu wajib kami kalau makan di restoran masakan panas. Memang sedap menu ala Thai ni, ada rasa manis, masam dan pedas. Ikan siakap menjadi pilihan kerana isinya sedap dan kulit luarnya rangup bila digoreng.

Berikut kami kongsikan resipi ikan siakap tiga rasa untuk anda cuba masak sendiri di rumah.


Resepi Ikan Siakap Tiga Rasa

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 2-3 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi ikan siakap tiga rasa.

  • 1 ekor ikan siakap saiz sederhana
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 4 biji cili padi - optional
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu kecil kicap manis
  • 1 sudu kecil cuka
  • Sedikit nanas - optional
  • Daun sup / daun bawang
  • Garam dan gula secukup rasa


Bahan untuk sapuan

  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu kecil garam


Bahan kisar

  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan dan kelar ikan siakap. Kemudian lumurkan ikan luar dan dalam dengan campuran bahan sapuan - serbuk kunyit, garam dan tepung jagung.
  • Kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih dan halia.
  • Potong dadu nanas. Potong daun sup. Potong halus cili padi.

ikan siakap tiga rasa


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan ikan siakap masak tiga rasa.

  1. Panaskan minyak dalam kuali sehingga betul-betul panas.
  2. Goreng ikan siakap dalam minyak banyak (deep fry) sehingga garing. Angkat dan tuskan, kemudian dan letak di dalam pinggan hidangan.
  3. Di dalam kuali yang berasingan, tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga naik bau.
  4. Kemudian masukkan cili kisar dan tumiskan sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan semua sos, cili padi, cuka dan kiub nenas. Masukkan sedikit air jika kuah terlalu pekat. Kacau sehingga semuanya sebati.
  6. Perasakan dengan garam dan gula, kacau kemudian angkat.
  7. Bila nak makan, tuangkan kuah dan taburkan daun sup ke atas ikan.

Selamat mencuba!