Resepi Roti Jala Tanpa Acuan

Cara mudah membuat roti jala lembut tanpa acuan. Roti jala ni sebenarnya macam lempeng, cuma ia dibentuk seperti jala - yang nipis, lembut dan gebu. Ia merupakan menu yang popular pada Hari Raya, gathering, jamuan dan rumah terbuka.

Berikut kami kongsikan resipi roti jala lembut dan sedap sukatan cawan, tanpa menggunakan acuan khas roti jala.


Resipi Roti Jala Lembut

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 25 minit ♦ Hidangan: 20 keping


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat roti jala.

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan air
  • 1 biji telur
  • ½ cawan santan atau susu
  • ½ sudu kecil garam
  • ¼ sudu kecil serbuk kunyit atau sedikit pewarna kuning
  • 2 sudu besar minyak masak
  • Minyak masak untuk sapuan
  • 1 biji botol plastik (botol air mineral / minuman berkarbonat dsb.)


Persediaan Bahan-bahan

  1. Buat 2-3 lubang kecil (pinhole) pada penutup botol plastik menggunakan paku yang dipanaskan.

roti jala lembut sedap dengan kari ayam

Roti jala lembut cicah kari ayam


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah memasak roti jala.

  1. Masukkan semua bahan ke dalam blender dan kisar sehingga adunan sebati, licin dan tiada ketulan. Adunan hendaklah sedikit cair - ia hendaklah mengalir dalam satu aliran yang tidak putus (tidak menitis) bila dituang sedikit. Kalau pekat tambah air lagi sehingga boleh dijala.
  2. Tapis adunan dan tuang ke dalam botol.
  3. Panaskan ceper atau kuali non-stick menggunakan api sederhana. Celup tisu dalam minyak dan sapukan pada permukaan kuali.
  4. Pegang botol adunan menegak dengan muncung menghala ke permukaan kuali. Pancutkan adunan ke atas kuali sambil membuat gerakan membulat dari luar ke dalam untuk membentuk kepingan "jala" yang bulat bergaris pusat kira-kira 6 inci.
  5. Angkat bila roti jala bertukar warna (selepas 1 minit). Tidak perlu memasak kedua-dua belah.
  6. Ulangi langkah 4-5 sehingga habis adunan. Sesekali sapu minyak pada kuali.
  7. Gulung atau lipat roti jala sebelum dihidangkan.


Cadangan Hidangan

Roti jala biasanya digulung macam popia atau dilipat sebelum dihidangkan dengan kari ayam, kari daging, kuzi ayam atau rendang.