Resipi Ikan Goreng Kunyit

Resepi ikan goreng kunyit. Ikan goreng kunyit adalah masakan ikan paling simple.  Ia adalah masakan asas, setaraf dengan menggoreng telur hehe. Sesuai untuk adik-adik yang baru belajar memasak. Bila dah pandai menggoreng ikan, boleh la cuba masakan yang special sikit seperti ikan siakap tiga rasa.

Berikut kami kongsikan resipi cara memasak ikan goreng kunyit.

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ikan goreng kunyit.

  • 4 ekor ikan kembung/selar/lolong/tamban saiz sederhana
  • 1 inci kunyit hidup (boleh juga gantikan dengan 1/2 sudu teh serbuk kunyit)
  • 2 ulas bawang putih (opsyenal)
  • 1/2 sudu kecil garam
  • Minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Siang ikan - belah perut, buang insang dan isi perut, bersihkan, kelar, potong jika mahu. Siram kemudian tuskan.
  • Tumbuk campuran garam, kunyit hidup dan bawang putih hingga lumat. Kalau guna serbuk kunyit tak perlu tumbuk, cukup sekadar campurkan serbuk kunyit, garam dan sedikit air.
  • Lumurkan ikan dengan garam kunyit, termasuk sebelah dalam ikan.
  • Perap kira-kira 10 minit.

ikan goreng kunyit garing sedap

Ikan selar goreng kunyit ... garing dan sedap.


Cara Memasak

Berikut adalah cara memasak ikan goreng kunyit.

  1. Masukkan minyak dalam kuali. Kuantiti minyak sekadar tenggelam sebelah ikan.
  2. Bila minyak cukup panas, masukkan beberapa ekor/keping ikan yang telah diperap. Bila dah garing, balikkan ikan dan goreng yang sebelah lagi.
  3. Angkat bila kedua-dua belah ikan dah garing.
  4. Ulangi sehingga ikan habis digoreng.


Tips

  • Petua untuk elakkan ikan melekat pada kuali, pastikan minyak betul-betul panas (minyak mula berasap) sebelum masukkan ikan, dan pastikan ikan garing baharu dibalikkan.
  • Sebaiknya gunalah kunyit hidup kerana baunya harum dan rasanya lebih sedap berbanding kunyit serbuk.
  • Jangan goreng terlalu banyak ikan dalam satu masa. Jumlah ikan mestilah boleh ditampung oleh minyak.


Cadangan Hidangan

Ikan goreng kunyit enak dinikmati bersama nasi putih panas dan sayur masak lemak putih untuk makan tengahari. Kalau ada sambal belacan, sambal Padang atau budu lagi sedap.