Resepi Mudah Coleslaw KFC

Kentucky Fried Chicken (KFC) bukan sahaja terkenal dengan ayam gorengnya, malah coleslawnya turut menjadi poojaan peminat tegar KFC. Maka ramailah yang mencari resipi KFC atau klon KFC untuk cuba buat sendiri di rumah.

Berikut adalah resepi coleslaw KFC versi AnekaResipi, berdasarkan carian di internet dan ditambahbaik selepas percubaan demi percubaan admin sendiri. Resepinya mudah sahaja, tapi rasanya mirip colesaw KFC yang asli.

Berikut dikongsikan cara mudah membuat coleslaw sedap ala KFC.


Resipi Coleslaw KFC AnekaResipi

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 0 minit ♦ Hidangan: 6 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat colesaw KFC. Resepi ini tidak memerlukan susu.

  • ½ biji kobis bulat sederhana besar (lebihkurang 400 gm)
  • ½ batang lobak merah / carrot
  • 1 sudu besar bawang besar Holland yang telah dicencang
  • 8 sudu besar mayonis
  • 2 sudu besar gula
  • 1 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar cuka makan
  • ½ sudu kecil garam


Persediaan Bahan-bahan

  1. Potong buang empulur kobis. Kemudian potong kobis kecil-kecil macam saiz coleslaw KFC.
  2. Kupas carrot dan potong kecil-kecil sama seperti kobis.
  3. Cencang halus bawang besar.
  4. Campurkan semua bahan di atas ke dalam bekas berpenutup.

resipi klon coleslaw KFC sedap dan mudah


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan coleslaw ala KFC.

  1. Untuk buat sos, masukkan mayonis, cuka, minyak masak, gula dan garam ke dalam mangkuk. Kacau sehingga sebati. Rasanya mestilah manis, dengan sedikit rasa masam.
  2. Tuangkan sos ke atas sayuran yang telah dicencang dan gaul sebati.
  3. Tutup bekas dan perap dalam peti sejuk semalaman.
  4. Keluarkan dari peti sejuk bila nak makan. Hidangkan sejuk-sejuk baru best.


Tip

Untuk hasilkan coleslaw yang lebih crunchy dan sedap:

  • Gunakan kobis yang diimport dari China - bentuknya bulat, warnanya hijau dan isinya padat. Ia lebih rangup dan manis berbanding kobis tempatan - saiznya lebih besar, bentukya leper dan berwarna cerah.

  • Gunakan karot dari Australia. Ia lebih manis berbanding karot dari China.