Resepi Kari Ikan Tongkol

Resepi kari ikan tongkol / tenggiri. Ikan tongkol masak kari memang sedap disukai ramai. Sesuai sebagai lauk untuk makan tengahari atau malam.

Berikut kami kongsikan resipi kari ikan tongkol lazat.


Bahan-bahan Kari Ikan Tongkol

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak kari ikan tongkol/aya. Selain ikan tongkol, jenis ikan lain yang sesuai untuk dibuat kari ialah ikan tenggiri, ikan merah dan ikan bawal.

  • 1 ekor ikan tongkol/aya hitam saiz sederhana

    (Ikan tongkol hitam isinya putih dan lembut, tongkol putih isinya keras)

  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 2 cm halia
  • 1 sudu teh halba campur (terdiri dari halba, biji sawi dan jintan putih)
  • 2 tangkai daun kari
  • 1 biji bawang besar
  • 5 sudu besar serbuk kari ikan
  • 1 sudu kecil serbuk cili (kalau nak pedas)
  • 10 biji bendi
  • 2 biji tomato belah dua
  • 1 cawan santan segar
  • 1 cawan air asam jawa
  • Garam dan gula


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong dan bersihkan ikan, rendam bersama air sama jawa selama 10 minit. Kemudian bilas dan toskan.
  • Bancuh serbuk kari dan serbuk cili dengan sedikit air supaya menjadi pes.
  • Kisar atau mayang gabungan bawang putih, bawang merah dan halia
  • Kisar bawang besar bersama secawan air.

resepi kari ikan tongkol aya tuna


Cara Memasak Kari Ikan Tongkol

Berikut adalah cara memasak kari ikan tongkol/tenggiri/bawal.

  1. Panaskan minyak dalam periuk atau kuali dengan api kecil dan tumiskan hirisan bawang putih, bawang merah dan halia sehingga layu.
  2. Masukkan halba campur dan daun kari dan tumis lagi hingga bawang keperangan. Sentiasa kacau supaya ia tidak hangus, kalau hangus kari jadi pahit.
  3. Masukkan bawang besar yang dikisar sampai mendidih dan naik bau.
  4. Masukkan pes kari dan tumis sampai garing dan pecah minyak.
  5. Kemudian masukkan air asam jawa, santan, garam dan gula.
  6. Besarkan api dan kacau sehingga mendidih. Tambah air jika perlu. Kuah hendaklah sentiasa dikacau untuk mengelakkan santan dari berketul.
  7. Bila santan menggelegak, masukkan ikan.
  8. Bila ikan masak dan kuah pecah minyak, kecilkan api dan masukkan bendi dan tomato.
  9. Tutup api selepas tiga minit (apabila bendi layu).


Cara Hidangan

Kari ikan sedap dijadikan lauk untuk nasi putih atau nasi dagang. Buat cicah roti canai pun sedap.